Translate

Monday, 3 October 2016

KESIMPULAN

Kesimpulan untuk Jiran Sepakat Membawa Berkat


Dalam hidup berjiran tetangga kita perlu mewujudkan masyarakat yang saling mengambil berat antara satu dengan yang lain tanpa memikirkan budaya dan agama. Yang buta dipimpin, yang sakit diziarahi. Susah senang sesama jiran ditangani bersama-sama. Bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dipinggirkan daripada sanubari. Justeru, marilah kita sama-sama mengutamakan hal-hal kekeluargaan dan kemasyarakatan yang mendasari semangat kejiranan. Saranan ini bertepatan dengan dasar kebudayaan yang menggalakkan keharmonian perhubungan antara kaum. Jiran sepakat membawa berkat. Generasi hari esok adalah pewaris kepemimpinan hari ini. Akhirnya marilah kita bersama-sama bersatu mengekal dan mengukuhkan permuafakatan.





cara-cara memupukkan semangat kejiranan





Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa
 sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan
 memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.



 

cara-cara memupukkan semangat kejiranan





Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.




cara-cara memupukkan semangat kejiranan





Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.